Batik Air Malaysia mula terbang ke 2 bandar utama di Jepun

Batik Air Malaysia mula terbang ke 2 bandar utama di Jepun

ANTHONY Loke (tengah) bergambar selepas menyempurnakan pelancaran Batik Air Extra Flights ke Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baru Cina 2023 serta pengumuman Servis Baharu Batik Air ke Tokyo, Osaka, dan Hokkaido di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Batik Air Malaysia kembali terbang ke Sapporo Chitose di Jepun selain mula memperkenalkan dua lagi destinasi baharu di negara itu, Tokyo Narita dan Osaka Kansai.

Majlis pelancaran destinasi tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Berucap pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, tiga laluan tersebut bakal melonjakkan imej negara sebagai destinasi percutian.

“Kami berbangga dapat membantu Malaysia untuk menjana sektor pelancongan tempatan dan menawarkan peluang perniagaan untuk diteroka luas kedua-dua negara,” jelasnya.

Turut hadir sama ialah Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dan Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.

Batik Air Malaysia yang ditubuhkan pada 2012 lalu sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air dengan hab utama di KLIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Destinasi ke Sapporo, Hokkaido dengan kekerapan tiga kali seminggu itu berlepas pukul 7.20 pagi dan menggunakan Boeing 737 MAX 8 serta transit di Taipei Taoyuan, Taiwan.

Sementara penerbangan ke Tokyo pula juga dengan frekuensi dan model pesawat yang sama namun berlepas pukul 12.35 tengah hari serta singgah di Kota Kinabalu, Sabah.

Uniknya, satu lagi destinasi baharu iaitu Osaka menyaksikan Batik Air Malaysia terbang setiap hari dengan jenis pesawat serupa pukul 10 malam serta transit di Taipei Taoyuan.

Mengulas lebih lanjut, Mushafiz berkata, tiga destinasi berkenaan memiliki keunikan yang tersendiri malahan menzahirkan perasaan optimis ramai warga Jepun datang ke Malaysia.

“Kami juga akan tambah kekerapan penerbangan ke Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu sebanyak 35 kali bermula 18 Januari depan bersempena Tahun Baharu Cina,” jelasnya.

Lebih menarik ujarnya, tiket juga ditawarkan pada harga tetap yang kompetitif iaitu RM299 ke Kuching dan RM399 ke Kota Kinabalu dengan tawaran dibuka sehingga 15 Januari ini.

Tidak ketinggalan, operator premium itu turut mewujudkan lagi sebanyak 42 penerbangan tambahan dari Subang Skypark ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Langkawi.

Kesemua destinasi domestik itu ditawarkan dengan harga tambang tetap hanya RM259 sehala bermula pada tarikh yang sama susulan permintaan tinggi untuk perayaan berkenaan.

Dalam pada itu, Siew Fook ketika berucap menyambut baik inisiatif Batik Air Malaysia yang menyahut seruan kerajaan bagi meringankan beban penumpang destinasi tempatan.

Bahkan pihak kementerian itu memberi jaminan bahawa semua agensi di bawahnya juga bekerjasama erat memastikan kelancaran operasi ekoran tambahan penerbangan kali ini.

“Peningkatan frekuensi akan menyaksikan waktu operasi terminal udara dilanjutkan tetapi langkah ini turut menawarkan caj tambang berpatutan kepada para penumpang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya