KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula laluan keluar di persimpangan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditutup sementara pagi ini selepas bas persiaran terbakar di lorong keluar Plaza Tol UPM.
Dalam kenyataan terkini, PLUS memaklumkan, lorong keluar paling kiri di plaza tol terbabit masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan.
Pembukaan semula laluan keluar di persimpangan berkenaan bermula kira-kira pukul 11 pagi ini.
“PLUS menasihati semua pengguna yang melalui Plaza Tol UPM supaya berhati-hati dan mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan,” katanya hari ini.
Dalam kejadian itu, bas persiaran yang membawa 40 penumpang terbakar di lorong keluar Plaza Tol UPM, bagaimanapun, api dipadam oleh pasukan bomba daripada Serdang beberapa minit kemudian.
Tiada kecederaan terhadap penumpang, petugas plaza tol atau pengguna lebuh raya. – UTUSAN