Banjir : Warga ILPKT tawar khidmat baik pulih barangan elektrik - Utusan Malaysia

Banjir : Warga ILPKT tawar khidmat baik pulih barangan elektrik

SEBAHAGIAN pelajar ILPKT melakukan kerja-kerja baik pulih barangan elektrik secara percuma di Taman Desa Tanjung Damai, Kuala Nerus, Terengganu. hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Seramai 90 warga Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu (ILPKT) hari ini tampil menawarkan khidmat baik pulih barangan elektrik secara percuma kepada mangsa banjir yang terjejas di Taman Desa Tanjung Damai di sini, baru-baru ini.

Pengarah ILPKT, Kamaludin Tomiran berkata, perkhidmatan tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya terhadap penduduk yang terjejas akibat banjir buruk baru-baru ini.

Menurutnya, seramai 70 pelajar daripada empat fakulti dan 20 tenaga pengajar ILPKT terlibat dalam program tersebut untuk membaik pulih barangan elektrik yang rosak akibat ditenggelami air.

“Seawal pukil 8.30 pagi, penduduk mula menghantar barangan elektrik yang rosak seperti mesin basuh, peti sejuk, kipas angin dan vakum.

“Setakat pukul 12 tengah hari ini, lebih 150 barangan telah dihantar dan kami cuba membaik pulih sebahagian besarnya mulai hari ini.

“Jika tidak selesai, kita akan bawa pulang ke ILPKT dan proses baik pulih akan dilakukan di sana sehingga siap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi memudahkan penduduk menghantar barangan elektrik itu, khidmat pengangkutan turut disediakan oleh pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh.

Kamaludin berkata, program tersebut dapat meningkatkan kemahiran teknikal pelajarnya.

“Pelajar dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan mereka sepanjang belajar di ILPKT dengan bimbingan pensyarah yang turut turun padang.

“Sebenarnya, memang kita dapat banyak permintaan dari daerah-daerah lain yang turut terjejas banjir, namun untuk permulaan kita tolong di kawasan terdekat dahulu di taman perumahan ini yang mempunyai kira-kira 1,300 rumah kediaman,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Azira Ismail, 49, berkata, beliau lega kerana bantuan khidmat baik pulih percuma warga ILPKT itu dapat meringankan kos kewangannya akibat banjir baru-baru ini.

“Ketika kejadian 20 Disember lalu, hanya saya dan anak-anak sahaja ada di rumah, jadi kami sempat alihkan mesin basuh sahaja ke tempat lebih tinggi.

“Bila dapat tahu ada program ILPKT ini, saya syukur sangat kerana boleh hantar peti sejuk yang terendam lama dalam air untuk dibaiki secara percuma,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya