BESUT: Penduduk di Kampung La di sini kecewa kerana sistem amaran awal bencana (EWS) yang baru dipasang di kampung tu gagal berfungsi sepenuhnya ketika banjir mula melanda pada 19 Disember lalu.
Pemasangan EWS itu tidak membantu penduduk kerana siren sistem itu mengeluarkan bunyi terlalu perlahan sehingga kebanyakan mereka tidak mendengar amaran tersebut.
Sementara itu, seunit lagi EWS yang dipasang di kampung itu sebelum ini pula rosak.
Keadaan tersebut menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda dan mereka berpindah selepas paras air meningkat secara mendadak.
Seorang penduduk, Saidi Seman, 59, berkata, dia tinggal berdekatan dengan EWS yang baru dipasang kira-kira sebulan lalu.
Menurutnya, dia mula mendengar siren EWS kira-kira pukul 6.30 petang pada 20 Disember lalu tetapi terlalu perlahan.
Katanya, jarak rumahnya terletak kira-kira 150 meter dari tempat EWS itu dipasang, namun kedengaran tidak jelas.
“Penduduk yang tinggal lebih jauh sedikit dari tempat EWS itu langsung tidak mendengar siren amaran itu. Dalam sehari, siren berbunyi kira-kira tiga kali sebelum EWS itu tumbang akibat arus deras,” katanya ketika ditemui di Kampung La semalam.
Kampung La adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas dalam bencana banjir kali ini hingga menyebabkan kerosakan teruk terhadap rumah penduduk.
Seorang lagi penduduk, Rizuan ibrahim, 49, berkata, dia yang tinggal sejauh 500 meter dari tempat EWS tidak mendengar siran amaran ketika banjir.
Menurutnya, siren EWS itu berbunyi kuat sehingga kedengaran satu kampung ketika melakukan ujian semasa mula dipasang.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengesahkan salah satu EWS di Kampung La tidak berfungsi kerana masalah teknikal ketika banjir, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, sistem amaran itu yang tidak berfungsi itu akan dilupuskan kerana terlalu uzur.
Katanya, terdapat sebuah lagi EWS yang baru dipasang berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La dan didapati berfungsi ketika banjir.
Bagaimanapun, katanya, penduduk mendakwa tidak mendengar siren EWS baharu itu ketika hujan lebat.
“Bunyi siren itu tidak didengari penduduk kerana kebanyakan rumah diperbuat daripada zink dan hujan lebat terlalu ekstrem,” katanya. – UTUSAN