Banjir: Jumlah kerugian di Terengganu cecah RM38.2 juta - Utusan Malaysia

Banjir: Jumlah kerugian di Terengganu cecah RM38.2 juta

KEADAAN banjir yang berlaku di Kampung Durian Mentangau, Dungun, Terengganu pada Disember lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa banjir yang dilaporkan di negeri ini mencecah RM38.2 juta sepanjang tempoh musibah itu melanda dari awal Disember hingga 9 Januari.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, jumlah kerugian itu berdasarkan daripada 6,923 laporan polis berkaitan kerosakan banjir yang dibuat di tujuh daerah di negeri ini dalam tempoh tersebut.

Menurut beliau, antara kerosakan yang dilaporkan kepada pihak polis adalah melibatkan kemusnahan harta benda, rumah, kenderaan dan haiwan ternakan.

“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut merekodkan laporan polis paling banyak iaitu 2,471 diikuti Kuala Terengganu (1,677), Kemaman (871) dan Hulu Terengganu (732).

“IPD Dungun pula menerima 498 laporan daripada mangsa banjir manakala Setiu dan Marang masing-masing 454 dan 220 laporan polis,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kejadian banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun itu melibatkan seramai lebih 41,000 mangsa.

Rohaimi menambah, daripada jumlah itu, mangsa banjir di Besut paling teruk terjejas dengan lebih RM13.6 juta manakala RM12 juta kerugian di Hulu Terengganu.

Jelasnya, kerugian RM4 juta juga dialami mangsa di Kemaman, Dungun (RM3.2 juta), Kuala Terengganu (RM2.7 juta), Setiu (RM2 juta) dan RM560,000 di Marang.

“Bagaimanapun terdapat mangsa banjir membuat laporan polis tanpa menyatakan jumlah kerugian mereka sebaliknya hanya memaklumkan jenis kerosakan sebagai rujukan agensi berkaitan,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya