KAJANG: Kerajaan dalam perancangan menambah baik keupayaan aset dan logistik Jabatan Penjara termasuk membangunkan semula penjara-penjara lama yang wujud sejak 1870-an.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu sudah pasti diberi perhatian memandangkan tugas Jabatan Penjara perlu berdepan dengan satu kelompok anggota masyarakat yang menjalani kehidupan mereka bawah bumbung penjara.
Kata beliau, sudah tentu iklim kerja yang kondusif perlu diwujudkan di bawah agensi itu.
“Pertemuan bersama Ketua Pengarah Penjara sebentar tadi beliau telah memberikan pembentangan audit mengenai keupayaan aset semasa termasuk perancangan untuk punyai aset atau premis baru.
“Sedapat mungkin, kita tidak mahu pertambahan penjara baharu sebab apa yang kita mahu iaitu kurangkan kadar jenayah sekali gus penghuni penjara dapat dikurangkan,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di sini selepas taklimat dengan agensi berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa premis penjara yang berusia ratusan tahun yang mana ia perlu ditambah haik dari pelbagai aspek.
“Apa yang kita buat, kita masukkan dalam pelan perancangan sebelum kenal pasti beberapa premis penjara, lokasi selepas proses perundingan berjalan.
“Kalau ada keupayaan dana, sudah pasti nak tukar sekelip mata sahaja tetapi dalam keadaan ini kita harus realisitik kerana ada kekangan dana,” ujarnya
Dalam pada itu, ujar beliau, sebanyak dua atau tiga premis sudah dikenal pasti seperti Penjara Kemunting, Perak, Penjara reman di Pulau Pinang dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
“Walaupun di kawasan-kawasan berkenaan ada penjara baharu tetapi penjara sedia ada ini juga perlu ditambah baik bagi meningkatkan moral kakitangan jabatan penjara selain wujudkan keadaan yang lebih manusiawi untuk didiami,” katanya. – UTUSAN