Bandar Cassia bakal miliki pasar awam bernilai RM68.7j - Utusan Malaysia

Bandar Cassia bakal miliki pasar awam bernilai RM68.7j

CHOW Kon Yeow (kanan) melihat pelan pembangunan projek pasar awam dan penjaja Bandar Cassia di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BATU KAWAN: Sebuah pasar awam dan penjaja bernilai RM68.7 juta kini sedang dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 3.1 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Bandar Cassia di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek yang dijangka siap menjelang 2025 itu terbahagi kepada dua fasa dengan fasa pertama bermula sejak 7 November tahun lepas.

Beliau berkata, ia dibangunkan di lokasi strategik iaitu berdekatan beberapa kawasan perumahan serta hanya sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dari Jeti Batu Musang, di sini.

“Projek pembangunan ini merangkumi beberapa komponen utama seperti pasar awam yang mempunyai 160 ruang penjaja, sebuah kompleks makanan yang menempatkan 52 unit gerai, 753 parkir kenderaan dan fasiliti lain.

“Fasa pertama untuk projek ini melibatkan kerja dan rawatan tanah manakala fasa kedua pula merangkumi pembinaan bangunan dan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Pasar Awam dan Penjaja Bandar Cassia yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, fasa pertama untuk projek tersebut dijangka siap pada 6 Januari tahun hadapan.

Katanya, fasa kedua pula dijangka bermula suku pertama tahun depan dan siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2025 nanti.

“Kerajaan negeri yakin projek ini dapat memberi nilai tambah untuk kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS) khususnya apabila siap kelak.

“Ini sekali gus membolehkan rakyat (penduduk setempat) berpeluang menjana pendapatan selain menikmati kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau yang turut berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya