Bakar al-Quran: Malaysia kesal Kerajaan Sweeden tiada tindakan

Bakar al-Quran: Malaysia kesal Kerajaan Sweeden tiada tindakan

MALAYSIA mengecam tindakan IRasmus Paludan yang membakar al-Quran. - GAMBAR DAILY SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ekstrem seorang pemimpin Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataan berkata, Malaysia turut kesal kerajaan Sweden tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikannya.

“Ia tidak boleh diterima sama sekali walaupun ada beberapa bantahan dari pelbagai pihak dan boleh memberi kesan serius hubungan Sweden dengan umat Islam sejagat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kenyataan turut mengutuk keras tindakan Paludan yang membakar naskhah kitab suci itu di Stockholm, Sweden.

Tokoh berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Beberapa buah negara Islam lain juga mengecam perbuatan kurang ajar pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai provokasi kebencian amat melampau.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Malaysia juga menggesa kerajaan Sweden agar mengambil tindakan serius segera terhadap Paludan untuk memerangi sentimen Islamofobia.

“Tindakan keji pelaku ini jelas serangan secara terang-terangan ke atas Islam dan umat Islam seluruh dunia yang melampaui batas moral serta kebebasan bersuara,” katanya.

Ujar beliau lagi, perasaan ketaasuban selain perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci tanpa kira mana-mana agama, adalah tidak boleh diterima serta wajar dikutuk keras.

Malaysia malahan mengulangi pendirian bahawa isu kebebasan bersuara tidak boleh pula disama dengan kebebasan menghina agama yang bertentangan segala prinsip sejagat.

Justeru tegas Zambry, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni yang pelbagai.

Ini tambah beliau, termasuk prinsip menggalakkan kewujudan bersama secara aman dalam kalangan individu yang berbeza anutan agama dalam komuniti global yang rencam.

“Malaysia terus bekerjasama rapat komuniti sejagat bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk kebencian terutamanya sentimen Islamofobia serta ekstremisme,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya