BUKIT MERTAJAM: Kerajaan bersedia menimbang cadangan untuk memberikan peruntukan yang lebih kepada Pulau Pinang pada pembentangan semula Bajet 2023 bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pulau Pinang mungkin diberi perhatian jika terbukti negeri itu ‘ketinggalan’ dari segi peruntukan meskipun mungkin terdapat kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan negara ketika ini.
“Sama juga macam saya kata di Sabah dan Sarawak, memang ada kekurangan besar kerana peruntukan untuk Pulau Pinang itu digunakan untuk infrastruktur besar.
“Di Sabah dan Sarawak, ia termasuk untuk membina prasarana kecil, klinik, hospital, perumahan rakyat, sekolah-sekolah daif, itu harus kita beri tumpuan,” katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Bersama Perdana Menteri Malaysia di Galeri Pejuang Cherok Tokun di sini, malam ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Terdahulu, beliau ditanya mengenai kemungkinan Pulau Pinang akan menerima peruntukan lebih pada pembentangan semula Bajet 2023 memandangkan negeri ini merupakan antara penyumbang terbesar cukai untuk negara ketika ini. – UTUSAN