GEORGE TOWN: Baj kontena NAMTHONG 27 yang hampir karam di perairan Kuala Muda semalam dijangka memasuki Pelabuhan Pulau Pinang tengah malam ini dengan diiringi oleh bot PERKASA Maritim Malaysia Pulau Pinang.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kesemua kru baj kotena itu masing-masing empat warga Indonesia dan empat warga Thailand berumur antara 31 hingga 51 tahun berada dalam keadaan selamat.
Mengulas lanjut, ujar beliau, berdasarkan maklumat daripada ejen syarikat, bot tunda dan baj tersebut dalam pelayaran dari Kantang, Thailand ke negeri ini.
”Baj tersebut tidak mengalami sebarang kebocoran di bahagian bawah keel, tetapi semasa tiba di Langkawi, satu kompatmen di belakang (port) dimasuki air laut semasa cuaca buruk dan kelihatan senget ke sebelah kiri.
”Bot tunda dan baj tiba di kawasan sekitar 9.26 kilometer dari boya nombor empat Pelabuhan Pulau Pinang pukul 6 pagi semalam dan nakhoda mula menyedari baj telah senget dan dimasuki air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, nakhoda bot tunda telah mengambil keputusan menunda baj itu ke perairan yang cetek di muara Kuala Muda bagi menyelamatkan baj tersebut dengan kebenaran Jabatan Laut Pulau Pinang.
Ujarnya, baj itu telah dikandaskan di muara sebelum kerja-kerja mengepam air dalam kompatmen baj dimulakan pukul 9.35 pagi semalam sehingga selesai pukul 8 pagi tadi.
Dalam pada itu, katanya, Maritim Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif sebaik sahaja menerima laporan kejadian tersebut dengan menugaskan sebuah bot PERKASA untuk memantau pelaksanaan mengepam air dan keselamatan laluan pelayaran.
”Bot Maritim Malaysia telah merapat di baj pukul 11 malam semalam dan membantu kerja-kerja mengepam keluar air dari baj.
”Pada pukul 10 pagi tadi, sebuah bot KILAT Maritim Malaysia ditugaskan ke muara Kuala Muda untuk mengawasi kerja-kerja menarik keluar baj yang dikandaskan,” katanya.
Semalam, tular di media sosial sebuah video yang menunjukkan keadaan baj kontena NAMTHONG 27 yang sedang senget semasa ditunda oleh sebuah bot KYP MARINE di perairan Kuala Muda berhampiran sempadan perairan Kedah dan Pulau Pinang. – UTUSAN