Babak cekik: Saya yakin ‘method’ lakonan Fezrul - Nadiya Nisaa

Babak cekik: Saya yakin ‘method’ lakonan Fezrul – Nadiya Nisaa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Itu cuma lakonan dan jangan risau, tiada sebarang kecederaan berlaku kerana penggambaran untuk babak tersebut dipantau dengan teliti oleh pengarah, Ungku Ismail Aziz”.

Demikian kenyataan pelakon, Nadiya Nisaa, sekali gus melenyapkan kerisauan ramai susulan rakaman babak dia dicekik Fezrul Khan untuk sebuah drama tular di media sosial, baru-baru ini.

Pelakon berusia 38 tahun itu berkata, babak tersebut merupakan tuntutan skrip drama Bukan Syurga Pilihan, siaran Astro Prima dan penggambaran untuk aksi berkenaan turut dipantau teliti pengarah supaya tidak mendatangkan kecederaan.

“Memang Fezrul mencekik leher saya, tetapi itu cuma lakonan. Tetapi, dia tidak mencekik betul-betul, sebaliknya cuma menekan sedikit bahu saya untuk menampakkan saya sakit supaya babak itu memberikan lebih impak apabila disiarkan.

“Apa yang dilakukan Fezrul itu sebenarnya sebahagian daripada teknik lakonan. Sebagai pengarah yang turut berpengalaman dalam bidang lakonan, Ungku Ismail tahu bagaimana untuk bermain dengan kamera supaya babak itu nampak seperti betul-betul terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Nadiya berkata, dia kagum dengan komitmen Fezrul, malah menyifatkan lelaki tersebut sebagai antara pelakon yang mahir dengan kaedah lakonan, selain bersungguh-sungguh ketika menggalas tugas di set penggambaran.

“Dia memang pelakon yang ‘method’ dan akan memberikan sepenuh hati apabila berlakon. Untuk babak keganasan rumah tangga dalam drama ini, semua itu dilakukan dengan teknik. Sebagai pelakon, kami perlu melunaskan tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

“Dalam drama itu, Fezrul membawakan watak Zaid, lelaki yang panas baran dan cepat naik tangan tetapi masih sayangkan isterinya, Tihani yang sering menjadi mangsa kemarahannya,” katanya.

Dalam pada itu, kata Nadiya, setiap pelakon perlu tahu tiga asas penting ketika berada di set penggambaran.

“Tiga perkara asas itu ialah masing-masing perlu sedar diri, ruang dan dengan siapa kita bekerjasama. Saya turut menerapkan perkara sama kerana ia penting supaya kita tahu apa perlu dibuat apabila di lokasi penggambaran.

“Satu lagi, kena ada kepercayaan dan kenyakinan antara sesama pelakon. Bagi saya, jika berlaku kejadian tidak diingini seperti kecederaan atau kemalangan, boleh maklumkan kepada pengarah atau penerbit.

“Melainkan jika selepas aduan dibuat dan tiada sebarang tindakan atau perbincangan dilakukan pihak produksi, perkara itu boleh dipanjangkan seperti membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, babak Nadiya dicekik Fezrul tular di media sosial hingga mencetuskan kebimbangan ramai sekiranya insiden itu benar-benar berlaku.

Malah, ada mengaitkan insiden itu dengan kontroversi melanda Fezrul bersama seorang pelakon wanita ketika melakonkan babak mencekik semasa menjayakan penggambaran untuk sebuah produksi lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya