KUALA LUMPUR: Menganjak usia 32 tahun, pelakon, Azira Shafinaz mengakui, cemburu apabila melihat teman sebaya bahagia ditemani zuriat.
Azira berkata, seperti wanita lain, dia juga menyimpan impian untuk mempunyai cahaya mata, meskipun masih belum serius memikirkan soal perkahwinan.
Katanya, hubungan rapat dengan anak saudara menyebabkan keinginan tersebut semakin membuak-buak, apatah lagi Azira masih tinggal bersama ibu bapanya.
“Apabila usia sudah meningkat, memang cemburu lihat orang lain sudah mempunyai anak. Tambahan pula, saya jenis yang rapat dengan anak buah dan memang teringin mempunyai anak sendiri.
“Memang ada impian untuk berkahwin, tetapi saya belum fikir lagi soal tersebut. Kalau Allah SWT sudah tetapkan, pasti jodoh akan tiba,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi pakaian pengantin Rizman Ruzaini di ibu negara, baru-baru ini.
Azira yang merupakan anggota kumpulan De Fam turut memaklumkan, dia kini dalam fasa mengenali hati budi seseorang, walaupun pernah gagal dalam hubungan percintaan.
Kongsinya, dia tertarik dengan jejaka yang baru dikenalinya itu kerana pandai mengambil hati dan disenangi ahli keluarganya yang lain.
“Buat masa sekarang, orangnya sudah ada tapi biarlah rahsia. Kami masih baru menjalin hubungan dan saya tertarik sebab dia jujur, tahu baik buruk, malah keluarga juga suka dan boleh terima. Hati saya sangat lembut, jadi perlu pandai beli jiwa,” katanya.
Mengulas lanjut, pelakon drama Ijab Kabut ini berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang kriteria atau ciri tertentu mengenai bakal pasangan hidupnya.
Baginya, mempunyai kekasih hati yang mampu membimbing dirinya dan menerima keluarga seadanya sudah cukup menyenangkan hati.
“Saya bukan jenis yang suka menunjuk-nunjuk dan tayang pasangan. Nanti, kalau tidak jadi kahwin, tidak seronok. Kalau sudah pasti kahwin, memang saya akan kongsikan.
“Kalau ikutkan dulu mahu kahwin masa umur 25 tahun, tetapi sekarang jauh sangat tersasar. Apapun, kita hanya mampu merancang yang terbaik mengenai soal jodoh,” katanya.
Azira pernah melalui fasa putus cinta dengan seorang ahli perniagaan serta pernah dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon bergelar duda hangat, Sharnaaz Ahmad, dua tahun lalu.
Namun, Azira sebelum ini menjelaskan , hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan baik dalam industri.