BALING: Seekor gajah jantan liar berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhampiran Kampung Telok Temelah, Bongor, Baling, semalam.
Pengarah Perhilitan Negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, khidmat dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai dari Kuala Gandah, Pahang digunakan untuk memindahkan gajah liar tersebut yang dikenali sebagai Awang Teluk Temelah.
Katanya, gajah yang dipercayai berusia kira-kira 35 tahun itu dilaporkan berkeliaran di kebun milik penduduk kampung berkenaan sejak Januari tahun lalu.
“Tangkapan gajah liar ini dibuat selepas Perhilitan menerima aduan orang awam berhubung kehadirannya yang dilihat berkeliaran sekitar kampung berkenaan sebelum ini.
“Gajah jantan itu ditangkap Rabu lalu, sebelum ini haiwan sama dikesan masuk ke sekitar Kampung Telok Temelah, Kampung Kaki Bukit, Kampung Rambong dan Kampung Telok Sungai Durian,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, gajah dengan anggaran saiz ukuran lilitan tapak kaki hadapan 43 sentimeter terbabit dipercayai berhabitat di kawasan Ulu Muda dan kumpulannya dianggarkan mempunyai populasi antara tujuh hingga lapan ekor.
“Kerja-kerja pemindahan dilakukan bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 2 petang. Awang Teluk Temelah akan dibawa ke tempat pemeliharaan gajah di Sungai Deka, Terengganu,” katanya. – UTUSAN