NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu keputusan siasatan berhubung isu dua atlet bola tampar remaja yang ditampar jurulatih pada kejohanan bola tampar di Melaka, baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, siasatan tersebut telah selesai dan kini dibawa ke unit tatatertib dan integriti KPM untuk tindakan seterusnya.
“KPM tidak akan berkompromi dalam soal keganasan dan kini kita tunggu hasil (keputusan) siasatan berhubung kes ini yang kini di peringkat selesai dan sudah pun berada dalam pengetahuan unit tatatertib dan intergriti KPM.
“Proses untuk kes ini sangat penting sejak dari awal dan guru terlibat dalam kes ini boleh buat representasi (penjelasan),” katanya.
Beliau mengulas perkembangan siasatan kes dua pelajar perempuan yang menyertai kejohanan bola tampar yang ditampar jurulatihnya yang juga seorang guru.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita pada program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular satu klip video membabitkan jurulatih pasukan berkenaan yang menampar dua orang pemain di Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun (B-14) 2022 bagi kategori perempuan di Melaka pada 16 Disember lalu mendapat kecaman hebat oleh warganet sehingga mendapat maklum balas dari Kementerian Belia dan Sukan.
Susulan insiden itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara jurulatih terlibat.
Bagaimanapun, ibu bapa kepada atlet remaja terbabit memohon supaya jurulatih berkenaan dikekalkan dengan meminta semua pihak menghentikan kecaman mahupun mengambil sebarang bentuk tindakan. – UTUSAN