SHAH ALAM: Aset-aset terutama kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disifatkan sudah berusia dan perlu digantikan bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap keselamatan negara.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, keselamatan persempadanan di perairan negara tidak boleh dikompromi dengan aset-aset usang.
“Ia bagi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga,” titah baginda menerusi satu kenyataan semalam.
Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan, di sini.
Mohd. Reza dilantik pada 30 November 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada pengganti beliau pada 23 Januari depan.
Pada sesi itu, beliau turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan PTL, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai PTL Ke-18.
Pada 21 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan TLDM akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sea worthiness dan penugasan kapal-kapal yang jauh lebih tua berbanding His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai Thailand yang karam pada 18 Disember lalu.
TLDM amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) apatah lagi warga kapal tersebut yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut yang bergelora dan keadaan kapal yang berusia 35 tahun.
Mohd. Reza dipetik berkata, terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diatur gerak sebilang masa.
Berikutan 58 peratus daripada kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai, seluruh rakyat Malaysia diminta mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa.
Tanpa sebarang tindakan drastik kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekaligus isu keusangan aset, masalah itu akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang. – UTUSAN