PUTRAJAYA: Golongan artis di negara ini digalakkan untuk turut serta memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran mengenai kes keganasan rumah tangga menggunakan kreativiti atau karya mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, advokasi terhadap isu keganasan rumah tangga tidak hanya terhad kepada aspek undang-undang, namun ia boleh disampaikan menerusi pelbagai pendekatan termasuk akademik.
“Kalau ada artis yang boleh mengambil bahagian dalam advokasi ini (keganasan rumah tangga), saya kira masyarakat lebih senang faham kerana pengaruh artis itu sendiri mudah diterima mereka di luar sana apatah lagi jika membabitkan unsur-unsur pendidikan agama.
“Itu mungkin antara peranan yang boleh dimainkan rakan-rakan artis seterusnya membantu di peringkat Jabatan Pembangunan Wanita KPWKM untuk sama-sama memberikan kesedaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Sumbangan Tabung Kasih kepada waris mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin yang digerakkan penyanyi, Sufian Suhaimi melalui jenamanya, BabyPian.
Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 yang disalurkan kepada mangsa untuk menampung keperluannya akan diteruskan.
“JKM juga akan terus memberikan sokongan kepada mangsa dan keluarganya termasuk dari aspek kebajikan anak lelakinya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sufian berkata, sumbangan menerusi Tabung Kasih itu adalah selaras dengan pelancaran produk terbarunya, Kasih Pillow yang akan disalurkan kepada anak mangsa bagi tujuan tabung pendidikan.
Jelas Sufian, inisiatif berkenaan juga bukan sekadar sumbangan tetapi ia lebih kepada ingin memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kes keganasan rumah tangga dan membantu para wanita terutamanya golongan suri rumah untuk bangkit mencari rezeki bersama platform BabyPian.
“Bila bercakap mengenai kekeluargaan, saya teringat satu kisah yang sangat dekat dengan saya iaitu kes Puan Jahidah. Sumbangan dibuat juga bagi membina kesedaran berkenaan isu keganasan rumah tangga dan melindungi wanita.
“Saya dan pasukan sangat berbesar hati kerana KPWKM memberi sokongan dalam projek ini, secara asasnya, apa yang nak disampaikan adalah berkenaan projek Kasih Pillow, cerita disebaliknya, perkembangan Jahidah dan kebangkitan wanita untuk berani membela diri sendiri,” katanya.
Pada 12 Mei 2021, media melaporkan seorang wanita hamil parah dipercayai dipukul suaminya sehingga mengalami keretakan tulang belakang, rahang, bahagian muka selain cedera di bahagian anggota badan lain dalam satu kejadian di Johor Bahru. – UTUSAN