LANGKAWI: Bilangan Unit Anjing Pengesan (K9) perlu ditambah di Pulau Langkawi dalam usaha mengukuhkan kawalan dan penjagaan laluan keluar masuk ke pulau peranginan itu bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, pada masa ini hanya terdapat empat ekor anjing pengesan terbabit ditempatkan di Seksyen K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.
“Di sini, kita ada 10 kandang tetapi hanya empat ekor anjing pengesan iaitu seekor ditugaskan mengesan bahan letupan, seekor bagi kes berkaitan dadah manakala dua lagi untuk siasatan kes jenayah lain melibatkan JSJ.
“Jadi, pucuk pimpinan berpandangan untuk menambah anjing K9 di sini dan disarankan agar menambah anjing K9 pengesan bahan letupan dan dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Seksyen K9 Langkawi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Suresh kumar berkata, Langkawi merupakan pusat pelancongan melibatkan pergerakan keluar masuk pelancong yang sangat pesat dan keberkesanan untuk menjalankan tugas amat terhad sekiranya hanya seekor anjing pengesan menjalankan tugas.
“Keberkesanan K9 di Langkawi ini dilihat amat berkesan sejak ditubuhkan pada April 2021 dengan banyak kejayaan melibatkan kes dadah berjaya diselesaikan. Jadi, penambahan itu perlu apatah lagi sekiranya berlaku sesuatu kes, agak sukar untuk mendapat bantuan daripada darat berikutan masalah logistik,” jelasnya.
Katanya, terdapat 11 ekor anjing K9 di seluruh Kedah yang ditempatkan di penempatan Langkawi, Kuala Muda dan Bukit Kayu Hitam.
Terdahulu, beliau menyampaikan pingat penghargaan kepada anjing K9 digelar Black atas kejayaannya menyelesaikan dua kes dadah pada tahun lalu dan sijil penghargaan turut diberikan kepada pengendalinya iaitu Lans Koperal Johan Anak Jame.
Tiga lagi pengendali anjing K9 iaitu Sarjan S. Pubalan; Koperal Suriya Eng Chuan dan Lans Koperal Folinton Olinggang turut menerima sijil penghargaan.
Black berjaya mengesan dadah dalam dua serbuan berasingan pada 28 November dan 7 Disember tahun lalu dengan membantu anggota polis mengesan dadah yang disembunyikan tanpa mengambil masa lama.
Dalam serbuan pertama pada 28 November di Kampung Gelam di sini, Black berjaya menemukan satu paket plastik di belakang sebuah rumah yang dipercayai berisi ganja dengan anggaran berat 4.1 gram.
“Ketika serbuan kedua di Kampung Mawat, Ulu Melaka, Black berjaya menemukan satu guni mengandungi selaras senapang patah, satu paip besi yang dipercayai diubah suai menjadi laras senjata, tiga butir peluru berwarna hijau dan dua butir peluru lutsinar. –UTUSAN