KOTA KINABALU: Usaha mempertingkatkan imej Sabah sebagai negeri yang mesra pelabur akan diteruskan susulan pelantikan Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri.
Anifah berkata, beliau bersedia untuk berkongsi pengalaman sebagai bekas Menteri Luar untuk membantu Sabah mencapai hala tuju Sabah Maju Sabah.
“Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor demi pembangunan yang lebih positif Sabah.
“Saya juga akan melakukan yang terbaik untuk menasihati Ketua Menteri mengenai isu berkaitan hubungan antarabangsa dalam meningkatkan imej Sabah sebagai negeri yang mesra pelabur.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dalam melantik saya bagi memegang jawatan yang penting ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, pelantikan itu jelas menunjukkan Hajiji seorang yang berpandangan jauh kerana usaha memperkukuh hubungan antarabangsa akan membawa Sabah lebih maju ke hadapan. Banyak perkara yang Sabah boleh tawarkan, terutama kepada pelabur asing.
Menurut beliau, Hajiji amat memahami kepentingan hubungan antarabangsa dalam menjayakan hala tuju Sabah Maju Jaya terutama dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa agar lebih banyak pelaburan asing dibawa masuk ke Sabah.
Tambah Anifah, ia selari dengan usaha memperkasa kerajaan negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Maka, ini adalah peluang yang tepat untuk Sabah bekerjasama dengan negara luar agar lebih banyak syarikat luar melabur di negeri ini. –UTUSAN