Angkat bahasa Melayu teks sahih Perlembagaan diterima baik

Angkat bahasa Melayu teks sahih Perlembagaan diterima baik

AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik usaha oleh Jabatan Peguam Negara mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai teks sahih Perlembagaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerusi hantaran dalam laman sosialnya berkata, idea itu malah pernah sudah disuarakan aktivis bahasa.

“Kira-kira 20 tahun lalu, pelbagai badan dan tokoh pejuang bahasa menyuarakan perkara itu namun perkembangan kali ini amat baik serta ditunggu-tunggu sekian lama,” nukilnya.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semalam dilaporkan mencadangkan agar kerajaan menjadikan edisi bahasa Melayu versi muktamad bagi perundangan tertinggi di Malaysia.

Justeru, jabatannya itu berhasrat mahu menyarankan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan dijadikan teks rasmi dan bermula pada tahun ini.

Langkah itu juga selaras Perkara 160B perlembagaan tersebut yang menyebut sekiranya ada isu percanggahan, maka teks bahasa Melayu hendaklah mengatasi bahasa Inggeris.

Syor ini diungkapkan beliau ketika berucap pada sesi Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di sini yang dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Mengulas lanjut, Awang berkata, keputusan jabatan itu akan dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai sah bahasa negara berbanding teks dalam bahasa Inggeris.

“Negara ini telah merdeka 65 tahun dan amat wajar saki-baki penjajahan diketepikan dengan Perlembagaan Persekutuan ditafsir berdasarkan sarwa nilai sendiri,” tambahnya.

Beliau pada masa sama berharap semoga usaha gigih pihak Jabatan Peguam Negara itu mengangkat bahasa Melayu dapat disegerakan dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Usaha tersebut difahamkan susulan tindakan panel Mahkamah Persekutuan pada 2018 lalu yang bersetuju penggunaan versi bahasa Inggeris boleh mengatasi bahasa Melayu.

Keputusan ‘aneh’ mahkamah tertinggi negara itu mencetuskan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak seolah-olah bahasa kebangsaan tiada nilai dalam sistem perundangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya