Angkasa, UKM tanam kesedaran penjagaan alam sekitar

Angkasa, UKM tanam kesedaran penjagaan alam sekitar kepada pelajar sekolah

angkasa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan kerjasama rakan strategiknya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan inisiatif meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah melalui Bengkel pengajaran dan pembelajaran “Training of Trainers (ToT)” Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok yang telah diadakan di Taman Botani UKM, Bangi hari
ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Hadir sama Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Roslee Rajikan.

Sebanyak 144 orang peserta dari 39 buah koperasi sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor telah menyertai bengkel ini yang diadakan buat kali kedua anjuran Angkasa dan UKM.

Program ini juga dianjurkan bagi melengkapkan misi Angkasa dan gerakan koperasi untuk menanam sekurang – kurangnya sejuta pokok menjelang penghujung tahun 2023.

Program Penghijauan Malaysia : Koperasi Prihatin Sejuta Pokok telah dilancarkan pada bulan Julai 2022 bagi menyokong agenda Penghijauan Malaysia. Program “Flagship” tanggungjawab sosial koperasi (CSR) ini merupakan inisiatif berimpak tinggi Angkasa dengan kerjasama Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan penglibatan serta kesedaran lebih 15,000 buah koperasi yang mempunyai 7.04 juta anggota di seluruh Malaysia mengenai peranan dan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi membantu menangani kesan perubahan iklim.

Presiden Angkasa berkata, usaha membudayakan penanaman pokok dan pemuliharaan alam sekitar dalam diri pelajar harus diberi penekanan kerana memberi impak yang cukup besar kepada pembentukan sahsiah dan jati diri para pelajar serta meningkatkan semangat kerjasama, berpasukan dan kebersamaan sebagaimana yang diterapkan dalam tujuh (7) prinsip koperasi.

“Usaha ini secara tidak langsung akan memastikan generasi akan datang akan lebih cakna tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang sentiasa dititikberatkan pada peringkat global. Ini adalah tanggungjawab yang seharusnya dipikul secara bersama dalam mendepani cabaran perubahan iklim,” katanya.

Menerusi inisiatif Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok, Angkasa dan UKM telah menerbitkan modul Pendidikan dan Pembelajaran “Sejuta Pokok Segunung Harapan” untuk dimanfaatkan oleh 2,473 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keanggotaan berjumlah kira-kira 1.98 juta anggota individu.

Modul ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara hutan dan alam sekitar serta memberi pendidikan asas berkaitan jenis dan fisiologi pokok, konsep tanaman, penjagaan pokok dan penghasilan baja kompos, garis panduan pengukuran tumbesaran pokok dan penyelenggaraan tanaman pokok.

Modul ini dikongsi dengan anggota koperasi sekolah dan Koperasi IPT menerusi bengkel Training of Trainers (ToT) yang dilaksanakan oleh ANGKASA dan UKM.

Menurut Abdul Fattah, tanggungjawab pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar tidak harus disandarkan pada individu atau badan tertentu sahaja. Ianya perlu digalas oleh setiap orang dan dijalankan secara bersama.

Justeru, sebagai badan apeks gerakan koperasi negara, Angkasa akan memastikan gerakan koperasi juga bergerak secara aktif dalam usaha ini.

Sehingga Januari 2023, terdapat 26 program telah dilaksanakan di seluruh negara sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi di Malaysia yang berjaya menanam hampir 4,733 batang pokok pelbagai spesies di seluruh negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya