PETALING JAYA: Sektor pelancongan Malaysia terus meningkat dan berkembang dengan jangkaan menerima kunjungan 15 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini.
Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), Prof. Datuk Azlie Halim berkata, pelan pelancongan dan promosi yang diadakan sejak pembukaan sempadan berikutan negara memasuki fasa endemik Covid-19 menyaksikan peningkatan drastik.

“Tahun lepas sahaja selepas kelonggaran rentas negeri dan pembukaan sempadan, Malaysia menerima 11 juta pelancong sehingga hujung tahun.
“Tidak kira pelancong antarabangsa mahupun domestik, sektor pelancongan tidak menang tangan terutamanya pada musim puncak seperti cuti perayaan dan cuti umum.
“Walaupun beberapa prosedur operasi standard (SOP) sudah dikuat kuasakan semula, pelancong sudah bijak menjaga kesihatan dan mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya.
“Bukan Malaysia sahaja yang menguat kuasakan SOP, banyak negara lain turut melakukannya, jadi perkara tersebut tidak aneh buat pelancong serata dunia.
“Malaysia adalah antara negara terbaik yang melaksanakan SOP untuk mengawal penyebaran Covid-19 dan diharapkan pelancong terus bertanggungjawab menjaga diri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen akan diperketatkan bagi memantau kemasukan pelancong ke Malaysia.
Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelancong yang dikenal pasti mengalami demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas dan akan dibawa terus ke Hospital Sungai Buloh sekiranya positif.
Dalam pada itu, Azlie berkata, Melaka sudah menguatkuasakan SOP mereka dengan lebih ketat bagi mengelakkan penularan, jadi pelancong yang ingin ke sana harus ikut garis panduan yang ditetapkan.
“Sekiranya tidak bersetuju dengan SOP mereka, pelancong masih boleh berkunjung ke negeri lain tetapi harus ingat SOP dilaksanakan untuk manfaat kita juga.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati, jadi sambil melancong dan bergembira, pelancong dinasihati untuk tetap mengikuti SOP dan menjaga diri kerana wabak tersebut masih berada dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau berkata, sektor pelancongan akan terus pulih secara berperingkat dan Malaysia kini berada di landasan yang betul.
“Industri ini sangat sensitif kerana perubahan yang sedikit akan menjejaskan secara keseluruhan, pandemik atau bencana alam tidak boleh diramal oleh sesiapa pun.
“Diharapkan kerajaan akan menyusun strategi supaya industri ini sentiasa kalis dalam apa jua keadaan dan akan terus mengekalkan ekonomi negara,” ujarnya. –UTUSAN