Amanah sifatkan Sanusi cuba racun pemikiran orang Melayu

Amanah sifatkan Sanusi cuba racun pemikiran orang Melayu

ISMAIL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa cuba meracuni pemikiran orang Melayu apabila mendakwa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempunyai agenda tersembunyi dengan membawa pakar dari Singapura untuk menjadi konsultan kementerian tersebut.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur berkata, beliau percaya tindakan Muhammad Sanusi itu tidak akan disenangi oleh rakyat.

Katanya, Muhammad Sanusi dilihat turut cuba meracuni pemikiran orang Melayu dengan kononnya kementerian berkenaan sedang melaksanakan agenda jalur sutera baharu (New Silk Road) melibatkan beberapa negara.

“Saya percaya rakyat Malaysia tidak senang dengan pendekatan politik perkauman Pas ini. Menteri Besar nampaknya masih tidak boleh ‘move on’ dan berterusan memainkan isu perkauman dalam ucapan dilakukan.

“Sanusi cuba meracuni pemikiran orang Melayu kononnya menteri itu mahu membawa agenda pilihan raya kerajaan tempatan dari Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.  

Dalam ucapan pada sebuah majlis baru-baru ini, Muhammad Sanusi mendakwa matlamat terbesar DAP dalam perumahan dan kerajaan tempatan adalah untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dan keadaan itu akan menyebabkan cuma satu kaum bertanding dan mengundi terutamanya di bandar-bandar besar.

Selain itu Muhammad Sanusi mendakwa, lokasi strategik negara ini bermula dari Johor Bahru, Seremban, Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Bangkok, Hong Kong dan Taiwan telah diatur serta dinamakan sebagai jalur sutera baharu.

Projek jalur sutera baharu itu bagaimanapun dakwanya, terhenti di Kedah serta Perlis kerana Pas kini telah memegang kedua-dua negeri tersebut.

Mengulas lanjut Ismail berkata, tindakan meniru kualiti perumahan rakyat yang dibuat melalui Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura di negara itu amat baik dalam meningkatkan kualiti perumahan di Malaysia.

“Apa salahnya kita belajar kebaikan dibuat Singapura? Takkan kerana kita nak tiru perumahan di Singapura, maka kita akan bawa semua perkara dari negara itu? Ini pemikiran cetek dan berniat jahat Muhammad Sanusi yang sengaja mahu mengapi-apikan semangat perkauman negatif untuk menjaga kepentingan politik Pas,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Muhammad Sanusi kononnya jalur sutera baharu disekat kerajaan Pas Kedah juga agak pelik ketika kerajaan negeri dipimpinnya menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat China untuk projek penerokaan nadir unsur bumi (REE) di Sik.

“Inilah yang saya katakan bahawa Muhammad Sanusi dan Pas masih tidak ‘move on’. Ketika Sultan Kedah nasihat agar berbuat baik dengan kerajaan Pusat, beliau masih main isu perkauman bersandarkan khayalannya semata-mata,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya