Amanah mahu ekstremisme perkauman dianggap jenayah - Utusan Malaysia

Amanah mahu ekstremisme perkauman dianggap jenayah

Amanah perkauman
MUJAHID Yusof dan Mohd. Hattar Ramli dalam sidang akhbar ketika menghadiri Konvensyen NUNJI 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) mahu membawa cadangan penggubalan Akta Perpaduan Nasional kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menerusi cadangan tersebut, tindakan ekstremisme seperti memainkan isu perkauman wajar dianggap sebagai perbuatan jenayah kerana situasi tersebut menjadi asas bagi pengundi membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf berkata, sentimen perkauman dan agama dimainkan begitu teruk dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyebabkan rakyat membuat pilihan bukan atas fakta atau perbandingan dasar.

“Tetapi membuat pilihan atas sentimen dan dorongan perkauman. Ini sangat mengecewakan dan sebab itu kita anjurkan program ini supaya ada kesedaran perkara ini perlu ditangani.

“Supaya rakyat sedar memilih atas nama sentimen itu tidak akan membawa negara ke hadapan. Sudah tentu kita bimbang terutama menjelang PRN, mereka (parti lawan) mungkin menggunakan taktik yang sama. Cabaran besar kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar pada Konvensyen Nadwah Ulama lil Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023, hari ini.

Tambah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, saranan penggubalan akta tersebut dimasukkan dalam resolusi Konvensyen NUNJI 2023 yang akan disampaikan kepada Perdana Menteri supaya kerajaan mempunyai hasrat politik untuk menghentikan permainan sentimen perkauman dan agama.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dalam sidang akhbar sama memberitahu gabungan yang wujud antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Kerajaan Persekutuan perlu dicontohi di peringkat negeri.

Menurutnya, keharmonian antara pimpinan dalam parti dan kerajaan di peringkat Persekutuan perlu wujud di peringkat negeri dan menyifatkan situasi yang berlaku sebaliknya sebagai janggal serta tidak membawa mesej jelas kepada rakyat.

“Di Malaysia, kita memerlukan kerjasama ini kerana isu yang dibawa adalah sangat kritikal kerana isu tidak ada kestabilan politik, kegagalan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan.

“Terutamanya minda yang dibina dalam kempen amat menggerunkan dan menakutkan. Jadi, kalau kita bentuk kerajaan dan bercakap mengenai selepas ini hendak berlawan sesama sendiri, ia tidak akan membantu meyakinkan pengundi.” jelasnya.

Katanya lagi, negara lain mungkin mempunyai pendekatan berbeza untuk menstabilkan politik di peringkat pimpinan wilayah-wilayah mereka, namun kematangan politik Malaysia belum sampai ke tahap itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya