KUALA SELANGOR: Perjalanan seorang pemandu lori menuju ke Klang berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 34 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Jeram di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 35 tahun berkenaan menunggang Yamaha 125 ZR bersendirian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Tanjong Karang menghala ke Kapar.
“Setibanya di lokasi, sebuah Proton Gen 2 dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah bertentangan membelok masuk ke simpang kiri jalan itu.
“Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu depan kereta itu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, mayat pemandu itu dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian manakala keadaan jalan dan cuaca juga baik. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambah Ramli, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Najmi Abd. Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN