KUALA LUMPUR: Pelakon, Aidit Noh, 30, menafikan tindakannya memadam foto bersama isterinya di media sosial disebabkan rumah tangga mereka bermasalah.
Aidit sebaliknya menegaskan, pendekatan itu dibuat bagi mengelakkan ‘gangguan’ selepas dia dan isterinya mengalami pelbagai insiden yang menguji kebahagiaan mereka.
Aidit mendakwa, rumah tangga mereka berdepan gangguan sihir pemisah sehingga menyebabkan dia sering berasa ‘panas’ dan isu remeh-temeh boleh menjadi punca pergaduhan sehingga menggugat kebahagiaan dia dan isteri.
“Saya pernah nampak kelibat seperti ‘pocong’, selain kaki seperti ditarik ketika tidur dan pintu rumah diketuk berkali-kali pada tengah malam.
“Isteri juga pernah diganggu sebab selalu nampak kelibat saya di rumah sedangkan ketika itu, saya sedang menjalani penggambaran di luar,” katanya ketika ditemui semasa menjalani penggambaran drama bersiri baharu, Isteri Halal, di sini, semalam.
Aidit menjelaskan situasi sebenar yang dialaminya selepas timbul desas-desus mengatakan rumah tangganya bermasalah selepas memadam foto bersama isterinya di Instagram.
Menurut Aidit, selepas pergi berubat di Pahang, dia dinasihatkan supaya tidak lagi menayangkan gambar kemesraan bersama isteri di media sosial.
Sejak itu, dia mula menyimpan gambar isteri dalam arkib di Instagram bagi mengelakkan terkena penyakit ‘ain’ atau gangguan disebabkan pandangan mata yang disertai perasaan iri hati dan dengki.
Kongsinya, sejak itu, dia mula berasa sedikit perubahan dan berusaha ‘memagar’ diri dengan memperbanyakkan ibadah serta tidak meninggalkan solat.
“Setiap kali memuat naik gambar bersama isteri di Instagram Story, beberapa hari selepas itu pasti ada masalah sehingga saya jadi ‘panas’ melihat wajahnya.
“Saya berbincang dengan isteri dan berusaha menyimpan semua gambar kami di arkib. Tambahan pula kami sudah ada bayi, jadi saya risau jika berlaku sesuatu yang tidak baik,” katanya.