BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri meneruskan tradisi menziarahi kenalan rapatnya, Beh Song Wan, 60, pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang di sini hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba pada pukul 12.30 tengah hari dengan disambut Song Wan dan ahli keluarganya.
Ahmad Zahid turut bersama-sama keluarga Song Wan menggaul Yee Sang serta meluangkan masa bersembang dengan kenalannya itu sambil menikmati juadah makanan disediakan.
Song Wan, 60, yang dikenali sebagai Bujang oleh masyarakat setempat berkata, kehadiran Ahmad Zahid amat bermakna buat dia dan ahli keluarganya.
“Selama 30 tahun setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, beliau sudah pasti menziarahi saya dan ahli keluarga.
“Saya gembira dengan kehadiran beliau dan hubungan kami seperti adik beradik apatah lagi ibu saya, Cheah Seoh Lian, 85, adalah ibu angkat beliau,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah berbanding semasa wabak Covid-19 sebelum ini.
“Setiap tahun saya datang ke rumah ini tanpa gagal. Tahun Baharu Cina bukan sahaja diraikan keluarga ini.
“Ini membuktikan kita di Bagan Datuk harus mempertahankan penyatuan masyarakat yang pelbagai agama dan bangsa,” katanya.
Seramai kira-kira 200 tetamu turut hadir memeriahkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina berkenaan. – UTUSAN