Agong lawat Kampung Orang Asli Kuala Boh - Utusan Malaysia

Agong lawat Kampung Orang Asli Kuala Boh

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendukung seorang kanak-kanak sambil beramah mesra dengan penduduk ketika melawat Kampung Orang Asli Kuala Boh di Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Keberangkatan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Kampung Orang Asli Kuala Boh di sini hari ini, disambut penduduk dengan rasa gembira dan teruja.

Ketibaan Seri Paduka pada pukul 10.45 pagi itu disambut sekitar 600 penduduk yang teruja melihat baginda memandu sendiri kenderaan ulititi sukan (SUV) jenis Hyundai Palisade berwarna putih

Keberangkatan baginda turut disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; exco kerajaan negeri; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Md. Nor dan Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Pada kunjungan tersebut, Seri Paduka turut meluangkan masa kira-kira sejam beramah-mesra bersama penduduk selain berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda kepada mereka.

Seramai 128 keluarga juga menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian pada majlis berkenaan.

Seri Paduka menyantuni rakyat apabila duduk bersama sambil bertanya khabar dan melayani perbualan penduduk.

Malah dalam titah bersahaja baginda, Sultan Abdullah turut mengingatkan penduduk untuk menjaga kesihatan dan meminta mereka mengambil vaksin dan dos penggalak bagi mengawal pandemik Covid-19.

“Terima kasih semua dan jaga kesihatan. Sekarang banyak penyakit,” titah baginda.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan harapan untuk kerajaan negeri membina rumah kos rendah untuk masyarakat Orang Asli dan juga menaik taraf rangkaian internet di kawasan berkenaan.

“Ada WiFi di sini? Tiada? Nanti kita usulkan, wakil rakyat akan cuba dapatkan peruntukan untuk menara (telekomunikasi), insya-Allah,” titah baginda.

Seri Paduka turut berkenan bersantap di Kedai Kari Kepala Ikan Sahak, Ringlet sebelum meneruskan lawatan ke sekitar pasar Kea Farm dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya