PUTRAJAYA: Wanita yang dipukul suami sehingga koma dan terlantar, Jahidah Nordin, 45, sudah membuat permohonan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah Seremban pada Jun tahun lalu.
Permohonan tersebut difailkan menerusi adik mangsa, Fauziah Nordin memandangkan keadaan Jahidah yang masih lagi terlantar dan dijaga olehnya di Sendayan, Negeri Sembilan.
Menurut Fauziah, proses permohonan fasakh itu dibuat menerusi peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan fail tersebut telah pun dibuka pada awal Januari ini.
Katanya, seluruh ahli keluarganya juga tidak mahu Jahidah mempunyai apa-apa hubungan dengan suaminya selepas kejadian tragis yang menimpa kakak sulungnya itu.
“Disebabkan kakak tidak boleh berbuat apa-apa dan masih terlantar, jadi permohonan itu dibuat melalui saya dan ia perlu melalui beberapa proses.
“Dan sekarang ini kita hanya menunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak peguam untuk hubungi kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sumbangan Tabung Kasih kepada waris mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin yang digerakkan oleh penyanyi, Sufian Suhaimi melalui jenama, BabyPian.
Mengulas mengenai keadaan terkini kakaknya, Fauziah berkata, keadaan Jahidah masih sama dan tiada sebarang perubahan atau tindak balas yang ditunjukkan.
Ditanya mengenai inisiatif sumbangan yang disalurkan menerusi Tabung Kasih oleh jenama BabyPian, Fauziah amat berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan penyanyi berkenaan terhadap situasi yang menimpa kakaknya.
“Dapat lah meringankan beban kami untuk menjaga kakak serta untuk membesarkan anak lelakinya sehingga besar dan bersekolah kelak.
“Kakak pun ada pencen tapi itulah kita tak tahu macam mana keadaan di masa hadapan sebab sekarang ini semuanya memerlukan wang termasuk kos penjagaan dan rawatannya,” katanya. – UTUSAN