SHAH ALAM: “Sebagai ayah, anak tetap keutamaan saya. Saya akan berjuang berhabis-habisan,” kata Adam Shahz ketika ditemui selepas prosiding perbicaraan berhubung hak penjagaan anak tunggalnya dengan Fatin Afeefa semalam.
Prosiding di Mahkamah Syariah Shah Alam di sini semalam menyaksikan kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat sebelum mahkamah menetapkan kes didengar semula pada 28 Februari ini.
Adam yang juga pelakon memberitahu, dia akan melantik peguam bagi mewakili dirinya dan mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya, Ivy Herra Sophia, 7.
“Insya-Allah mungkin saya akan melantik peguam. Sebagai ayah, anak tetap keutamaan saya.
“Kalau ikutkan perkara ini tidak perlu dijadikan isu walaupun dah bercerai. Cuma saya perlukan hak saya juga,” katanya.
Tambah pelakon drama Juvana itu, sudah tiga bulan dia tidak bertemu dengan anaknya dan tiada cara lain untuk berjumpa dengannya melainkan mengheret kes tersebut ke mahkamah.
“Saya tidak ada tuntut apa-apa pun. Kalau tidak dapat tuntut hak penjagaan anak, sekurang-kurangnya beri hak untuk melawat,” ujarnya.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan Fatin Afeefa gagal selepas prosiding berkenaan.-utusan