'Adakah salah ketua bahagian bawa ketua cawangan bercuti?'

‘Adakah salah ketua bahagian bawa ketua cawangan bercuti?’

LOKMAN Noor Adam (kanan) pernah bersama Adham Baba (kiri) dalam beberapa siri program dan antaranya di bahagian Tenggara, Johor. - GAMBAR FACEBOOK HASRUL AKHMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kenyataan Datuk Lokman Noor Adam mempertikaikan tindakan Datuk Seri Dr. Adham Baba membawa ketua-ketua cawangan menghadiri retreat di Surabaya, disifatkan tidak masuk akal seolah-olah mahu menjatuhkan pasukan sendiri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Tenggara, Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman berkata, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sepatutnya meminta penjelasan daripada Adham sendiri sebelum membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

Ini kerana, katanya, Lokman pernah bersama Adham selaku Ketua UMNO Bahagian Tenggara beberapa siri program dan ada antaranya di bahagian itu sendiri.

“Adakah tidak boleh seorang ketua bahagian membawa ketua-ketua cawangan beliau pergi bercuti?

“Kalau ya pun ada berita tidak jelas, pasti Datuk Lokman boleh menelefon Datuk Seri Adham untuk bertanya berkenaan perkara ini, bukannya menuduh secara terbuka,” katanya dalam Facebook beliau.

Baru-baru ini, Lokman mendakwa Adham cuba mempengaruhi pemimpin cawangan di bawah bahagian Tenggaranya untuk mengundi Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Presiden Umno yang baharu.

Lokman mengutarakan perkara itu dalam satu video di YouTube yang memberitahu Adham menyebut sedemikian dalam ucapannya ketika membawa rombongan ketua-ketua cawangannya di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.

Hasrul berkata, ketua cawangan ini ibarat mata dan telinga ketua bahagian di setiap cawangan.

Katanya, mereka menjadi tempat rujukan masyarakat setempat, tempat mengadu dan segala permasalahan akan dibawa kepada ketua bahagian dan juga wakil rakyat untuk diselesaikan.

“Khidmat mereka ini adalah secara sukarelawan dan bukannya mendapat gaji tetap setiap bulan. Mereka ini dilantik pada 2018 dan akan berakhir khidmatnya kemungkinan pada tahun 2023.

“Untuk membayar jasa baik mereka dengan wang ringgit pasti tidak ternilai. Besar jasa dan pengorbanan mereka untuk masyarakat setempat,” katanya.

Oleh itu, katanya, sebelum tempoh jawatan mereka berakhir, beliau mempersoalkan adakah salah seorang ketua bahagian membawa ketua cawangan pergi bercuti sebagai penghargaan kepada khidmat mereka selama ini.

Tambahnya, pertikaian Lokman terhadap penglibatan setiausaha politik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam retreat berkenaan juga amat dangkal kerana Datuk Abdul Halim juga merupakan ketua cawagan dalam bahagian Tenggara.

“Yang paling menjelikkan adalah ada pihak yang melagakan siap menghantar gambar-gambar ketika retreat dengan membawa naratif songsang dan mengelirukan.

“Orang yang berjalan seperti gunting sangat bahaya kerana apabila mereka berjalan mereka memutuskan. Jangan kita sesekali lupa akan sejarah. Robohnya Kota Melaka bukan kerana pertahanan yang tidak kuat, namun kerana wujudnya gunting dalam lipatan yang mengkhianat pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya