PENGHIJRAHAN penyanyi, Asfan Shah mendapat pujian ramai peminat.
Namun, ada yang mula bertanya-tanya, adakah dia sudah tidak mahu lagi bergelumang dalam dunia seni? Adakah ini penamat kariernya?
Tidak cukup itu, ada juga segelintir warganet memandang sinis perubahannya.
Konon mempergunakan agama dan mahu tunjuk baik, itu antara komen dan kecaman yang diterima penyanyi Sumpah Cintaku ini.
Benarkah bapa kepada empat anak ini sudah tiada hati untuk berkarya? Asfan, Jawablah!
Apa perancangan seni untuk 2023? Adakah Asfan akan lebih fokus perniagaan dan mula perlahankan aktiviti seni?
Tidak juga, kena seiring. Tidak boleh fokus satu cabang sahaja. Untuk karier nyanyian, boleh dikatakan saya akan all out sepanjang 2023. Banyak runut bunyi drama yang sedang dihasilkan. Saya baru sahaja buka kedai minuman, Kopi Rantau di Klang.
Malah, program The Last Trio Standing juga sudah mula ditayangkan di Astro Ria. Saya bergandingan dengan Lah Ahmad dan Erin CTJ.
Ramai yang gembira melihat penghijrahan Asfan. Tetapi, ada juga segelintir mendakwa, niat berubah dan istiqamah itu sukar untuk kekal lama? Mudah cakap, hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Saya baru setahun menyertai usaha agama seperti ini. Tidak pernah pun terfikir, tetapi niat untuk berhijrah ke arah lebih baik itu hadir sendiri.
Saya tidaklah terlalu agresif dan berubah 100 peratus. Tetapi, saya telah jumpa ketenangan yang sangat luar biasa.
Teman-teman yang turut serta dalam usaha ini juga banyak membantu. Saya juga manusia, bila diuji ada ragu-ragu dan putus asa.
Tetapi, itu sebenarnya yang menguatkan saya untuk belajar perkara baharu. Istiqamah memang tidak mudah, tetapi jika semangat kita kuat dan ada sokongan, insya-Allah, Tuhan akan permudahkan.
Awal penghijrahan, adakah Asfan berdepan pandangan sinis atau skeptikal? Biasalah, bila golongan artis sertai usaha dakwah, mungkin ada yang lihat sebagai cara meraih populariti.
Tipulah kalau cakap usaha saya ini lancar, baik-baik sahaja. Ada sahaja yang bila jumpa, pandang pelik. Kalau berdakwah, siap tutup pintu tak bagi masuk rumah.
Tetapi, itu ujian untuk saya dan kawan-kawan. Saya tidak pernah ter kir untuk tular dan menggunakan agama.
Saya bukan jenis ambil tahu hal orang lain. Kena faham, untuk apa kita berdakwah. Kalau sekadar mahu tunjuk baik atau alim, ïtu bukan saya. Islam itu indah.
Jangan mudah menghukum. Bukan bererti saya berubah, saya terus tinggalkan semua. Saya kena fikir, anak, isteri dan keluarga siapa mahu beri makan?
Pernah putus asa apabila orang pandang sinis? Rasa takut untuk terus tunjuk diri sudah berhijrah?
Jangan berubah sebab manusia, tetapi untuk diri sendiri dan Tuhan. Ujian bukan datang dari pandangan manusia, tetapi Allah uji saya dengan emosi sendiri.
Bapa saya baru meninggal. Bila jadi, saya terduduk. Saya tertanya-tanya kenapa diuji begini sekali? Apa salah dan dosa saya?
Tetapi, bila kita kembali tenang dan ingat Allah, kita akan tahu, ini semua adalah proses kehidupan. Dia uji dalam kemampuan kita.
Pernah terfikir untuk tinggalkan dunia seni?
Awalnya, saya tertanya-tanya apakah betul apa yang saya buat ini. Tetapi, saya berguru dengan ulama dan dia mengatakan, karier seni adalah rezeki untuk saya dan keluarga.
Asalkan tidak melanggar hukum agama, insya-Allah berkat. Saya tahu, takkan saya naik pentas nyanyi lagu Alasan Untuk Bahagia pakai kurta dan berkopiah.
Ada masanya kita bertabligh. Bila bekerja, kita kerja. Kita kena faham, Islam itu mudah dan indah.
Ramai sahabat seni saya turut serta dalam usaha dakwah seperti Saharul Ridzwan, Ali Aziz dan ramai lagi. Mereka juga tidak meninggalkan dunia seni, tetapi tahu batas dan hukum agama.