Abang halang adik pulang ke Pakistan maut ditikam - Utusan Malaysia

Abang halang adik pulang ke Pakistan maut ditikam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang lelaki Pakistan menyembunyikan tiket penerbangan bagi menghalang adiknya pulang ke negara asal berakhir tragedi apabila dia maut dipukul dan ditikam adiknya dalam kejadian di Taman Desa Meranti di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.57 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mukhtiar, 39, mengalami kecederaan akibat ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

Dia yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.37 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dengan adiknya berusia 34 tahun.

“Dua beradik itu bertengkar selepas Mukhtiar melarang adiknya pulang ke Pakistan untuk bertemu keluarga selain menyembunyikan tiket penerbangan.

“Suspek yang berang bertindak di luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya sehingga parah,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, jiran yang menyedari kejadian kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke hospital, sementara suspek berjaya ditahan dan mengaku menikam abangnya. Turut ditemukan adalah sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Januari ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya