PETALING JAYA: Bantuan Tunai B40 dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan usaha ini akan ditambah baik kerajaan bagi membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memutuskan supaya STR Fasa 1 untuk golongan B40 diawalkan kepada Januari ini berbanding perancangan awal pada Mac bagi meringankan beban sara hidup rakyat.
Justeru katanya, pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data secara berperingkat mulai esok (17 Januari).
“Kerajaan Perpaduan menekankan pendekatan Rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas. Selaras dengan itu, kerajaan telah memperkenal konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Maka, program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula kepada Sumbangan Tunai Rahmah dan akan terus ditambah baik,” katanya dalam kenyataan.
Fasa 1 STR menyaksikan 8.7 juta penerima bantuan tunai yang empat juta isi rumah menerima RM300 dan 1.2 juta warga emas tiada pasangan menerima RM100 dan 3.5 juta rakyat yang bujang pula menerima RM100.
Menurut Anwar, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.
“Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai esok.
“Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya. – UTUSAN