PUTRAJAYA: Seramai 4,634 orang calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2022 yang akan dilaksanakan bermula 16 Januari ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ia bakal berlangsung di 134 buah pusat peperiksaan seluruh negara bagi tarikh peperiksaan pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari serta 2 Februari depan.
Katanya, semua calon diminta merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan STAM tahun 2022 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.
“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPM mengingatkan calon mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM tahun 2022. – UTUSAN