PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) sejak Ahad lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Nurhyati Rusli berkata, setakat ini, tiada kes Covid-19 daripada kesemua pengembara berkenaan malah, tiada sebarang gejala dikesan.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkara itu termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.
“Saringan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengesan sebarang varian baharu Covid-19,” katanya dalam sesi taklimat khas kepada media di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke luar negara supaya melengkapkan vaksinasi selain mengambil dos penggalak 1 dan 2.
Dr. Nurhayati berkata, kementerian juga akan menilai secara dekat perkembangan mutakhir serta bekerjasama rapat dengan negara serantau khususnya negara jiran seperti Thailand dan Singapura serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memperkukuhkan strategi kawalan dan pencegahan penularan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua PMA dikekalkan setakat ini.
Menurutnya, SOP itu turut terpakai bagi pelancong dari China dan sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini Covid-19.
Katanya, kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga diperketatkan bagi memantau kemasukan warga asing.
Malah, pelancong yang dikenal pasti demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.
Awal bulan lalu, China menamatkan dasar ‘sifar-COVID’ bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara itu bermula Ahad ini.
Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya. – UTUSAN