PUTRAJAYA: Golongan wanita Islam tempatan sebenarnya boleh memohon perceraian daripada suami jika lelaki berkenaan menyebabkan berlaku mudarat kepada mereka.
Menurut hantaran infografik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disiarkan menerusi laman sosialnya, ada empat situasi membolehkan si isteri itu berbuat demikian, antaranya apabila suami itu gagal menyediakan hak-hak ke atas isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik dan tempat tinggal.
“Harus juga cerai jika si suami berperangai fasiq seperti melakukan amalan syirik, tidak solat atau tidak berpuasa Ramadan dan isteri itu sudah lama bersabar menasihatinya,” kata Jawi.
Meskipun hebahan itu tidak merujuk kepada mana-mana insiden secara spesifik, hantaran tersebut dipercayai susulan isu tular melibatkan sepasang selebriti tanah air apabila si isteri pengarah terkenal itu dikatakan memfailkan fasakh atau tuntutan perceraian susulan tindakan kontroversi suami wanita berkenaan didakwa bernikah secara senyap di selatan Thailand dengan anak perempuan seorang pelakon veteran tempatan.
Mengulas lanjut, Jawi berkata, isteri turut boleh menuntut fasakh sekiranya suami didapati bermusafir terlalu lama seperti lebih enam bulan tanpa ada sebarang pun khabar berita sehingga menyebabkan kebimbangan si isteri tidak dapat mengawal fitnah iaitu keperluan syahwatnya.
Turut diharuskan ialah keadaan apabila suami itu bertindak menghina termasuk memukul tanpa sebab, melaknat atau memaki hamun pasangannya dengan bahasa yang kesat.
Jawi menerusi keterangan ringkasnya menyatakan bahawa empat situasi itu harus setelah suami tidak mahu melafazkan talak walhal isteri tidak sanggup meneruskan perkahwinan.
Meskipun hal perceraian berada di tangan suami, ajaran Islam masih membolehkan keadaan tertentu untuk isteri memohon cerai sebagai jalan keluar daripada ikatan hubungan itu.
Walau bagaimanapun, ia dibuat selepas segala usaha bagi menyelamatkan rumah tangga menemui jalan buntu dan perceraian diharapkan menjadi penamat daripada diteruskan.
Pada masa yang sama, Jawi turut menyarankan suami isteri agar sentiasa bersabar dan banyak bermuhasabah sesama sendiri supaya perkahwinan mereka terus lama berkekalan. – UTUSAN