4 PATI Myanmar kendali bot nelayan tempatan ditahan - Utusan Malaysia

4 PATI Myanmar kendali bot nelayan tempatan ditahan

SERAMAI empat nelayan warga Myanmar yang mengendalikan bot tempatan ditahan Maritim Malaysia di sekitar perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan
tempatan yang dikendalikan empat nelayan warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah di sekitar perairan Pulau Kendi, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya memeriksa bot nelayan tempatan kelas C itu ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi, kira-kira pukul 3.15 petang.

Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 52 kilometer daya Pulau Kendi.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berumur antara 30 hingga 45 tahun yang mana kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah serta melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Sehubungan itu, ujar beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 200 kilogram (kg) hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus bertindak tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya