GEORGE TOWN: Sebanyak empat buah kapal pukat tempatan ditahan dan disita Jabatan Perikanan negeri, kelmarin dan semalam, selepas didapati menceroboh kawasan tangkapan ikan dengan beroperasi kurang 15 batu nautika dari pantai atau daratan terdekat.
Dalam operasi itu, turut ditahan ialah tujuh kru warga asing masing-masing empat warga Thailand dan tiga warga Myanmar selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Pengarah Pejabat Perikanan negeri, Yazeeren A. Bakar berkata, dalam rondaan rutin Rabu lalu, anggota Jabatan Perikanan negeri mengesan dan menahan dua buah vessel tunda Zon C yang berpangkalan di Kuala Kedah pada kedudukan 9.1 dan 9.8 batu nautika di barat Muka Head dekat sini.
Menurut beliau, vessel itu juga dikesan menceroboh perairan Pulau Pinang dengan beroperasi kurang 12 batu nautika dari daratan atau pantai yang terhampir.
Sementara itu katanya, dalam rondaan rutin semalam pula, sebuah vessel tunda Zon C yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak ditahan dan disita pada kedudukan 10.8 batu nautika dari Gertak Sanggul.
Vessel itu jelas beliau, didapati menceroboh perairan negeri ini selain menggunakan tiga kru warga asing tanpa permit yang sah.
“Dalam operasi semalam juga, sebuah lagi vessel tunda Zon C yang berpangkalan di Kuala Kurau ditahan dan disita pada kedudukan 7.2 batu nautika dari Tanjung Piandang kerana didapati menggunakan empat kru warga asing tanpa permit sah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Yazeereen, kesemua vessel yang ditahan itu disita di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vessel itu dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk proses selanjutnya termasuk berdepan kompaun tidak lebih RM20,000.
Tambah beliau, anggaran nilai rampasan bagi kesemua vessel tersebut adalah sebanyak RM2.8 juta termasuk hasil tangkapan laut sebanyak 2.9 tan metrik.
Dalam pada itu beliau menegaskan, Jabatan Perikanan negeri memandang serius kesalahan menceroboh kawasan oleh vessel pukat tunda tempatan dan tidak akan bertolak ansur terhadap isu pelanggaran peraturan dan perundangan di laut.
Dalam perkembangan berkaitan, jelas beliau, pihaknya berjaya menahan dan menyita sebanyak 80 vessel tempatan yang menceroboh kawasan tangkapan ikan di perairan negeri itu sepanjang tahun lalu.
“Sehubungan itu, kita akan meningkatkan rondaan rutin dan penguatkuasaan di perairan negeri ini dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan hasil laut kekal terpelihara sekali gus menjamin keselamatan makanan negara,” katanya. – UTUSAN