SHAH ALAM: Sebanyak 23 titik panas lokasi kemalangan dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berdasarkan rekod lebih 10 kes kemalangan termasuk melibatkan kematian di negeri ini.
Justeru, JPJ akan melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan-kawasan terlibat seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan selebihnya di jalan persekutuan serta negeri dalam Operasi (Op) Tahun Baharu Cina 2023.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, pihaknya akan menempatkan seramai 352 anggota penguatkuasa di semua laluan itu secara statik atau rondaan kenderaan bagi memastikan kelancaran operasi khas kali ini.
“Justeru, kita akan memberi tumpuan penguatkuasaan di kawasan titik panas itu sepanjang 10 hari operasi sehingga 27 Januari ini.
“Selain penempatan anggota, pengguna jalan raya lain digalakkan merakam gambar atau video kesalahan jalan raya dan menyalurkan aduan itu kepada JPJ bagi tindakan lanjut,” katanya meninjau Ops TBC di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, malam tadi.
Beliau menambah, objektif pihaknya bertujuan menunjukkan kehadiran atau keberadaan pihaknya sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan terutama ketika musim perayaan.
Jelas Khairul Khar, penguatkuasaan itu memfokuskan sembilan kesalahan utama antaranya memandu melebihi had laju, langgar lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar.
“Selain itu, tumpuan melibatkan kesalahan tambahan seperti tidak memakai topi dan tali pinggang keledar serta memandu berbahaya dan tanpa lesen.
“Kita antaranya turut kekal menempatkan pegawai sebagai penumpang bas, pemeriksaan terminal atau depoh bas dan advokasi,” ujarnya. – UTUSAN