KEPALA BATAS: Sebanyak tiga buah rumah berhampiran Masjid Al Hidayah di Jalan Kuala Muda, di sini terbakar dalam kejadian petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 6.24 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Muda dibantu BPP Kepala Batas bergegas ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah kelas B dengan anggaran keluasan setiap rumah 20 x 50 kaki persegi.
“Kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan sebanyak 80 peratus dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Dalam operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Khairol Anuar Norshah itu, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.50 petang. – UTUSAN