Tiga lelaki hidup mewah jual dadah diberkas polis

Tiga lelaki hidup mewah jual dadah diberkas polis

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan kereta mewah yang dirampas daripada satu sindiket pengedaran dadah yang berjaya ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Rahsia kehidupan mewah dua penganggur dan seorang ejen insuran terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam serbuan berasingan di sekitar pusat bandar ini, Jumaat lalu kerana disyaki menjual serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah bernilai RM129,220 dan dua kenderaan mewah iaitu BMW serta Ford Mustang bernilai lebih RM300,000.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar bandar ini antara pukul 7 petang hingga 10 malam.

“Serbuan pertama dibuat di sebuah pangsapuri di Jelutong dan polis menahan seorang suspek manakala dua suspek ditahan dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Lebuh Gat, di sini.

”Sindiket ini dipercayai membungkus kesemua dadah yang mempunyai pelbagai perisa antaranya lemon dan oren untuk dicampur di dalam minuman. Kita masih menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan tiga suspek lelaki itu, polis merampas 151 paket plastik serbuk dadah MDMA seberat 2,507 gram bernilai RM125,350 dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram bernilai RM3,870.

”Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak tahun lalu untuk pasaran tempatan.

“Sindiket ini menjual setiap bungkusan dadah yang dicampur dengan serbuk minuman bermula dari RM180 hingga RM250 dan MDMA tersebut mudah larut dalam air serta memberi kesan seperti pil ekstasi,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek itu mampu hidup mewah kerana memperoleh keuntungan berganda hasil pengedaran dadah tersebut.

”Mereka menyasarkan dadah berkenaan dijual kepada pelanggan yang datang ke kelab malam di sekitar negeri ini.

”Ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek negatif dadah dan semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain dadah, polis turut menyita empat buah kenderaan termasuk motosikal; wang tunai RM3,559; dua utas rantai leher; seutas rantai tangan; dua bentuk cincin dan loket emas yang kesemuanya bernilai RM441,588.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM570,808 dan kesemua tangkapan direman tujuh hari sehingga 20 Januari ini.

”Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya