SEPANG: Sejumlah 291 penerbangan tambahan diluluskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sepanjang tempoh 14 hari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Berita gembira tersebut dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sambil menjelaskan angka itu setakat hari ini dan kemungkinan ia boleh ditingkatkan lagi.
“Apa sahaja permohonan dari semua empat operator tempatan bagi tambah penerbangan meliputi semua destinasi domestik akan dimudah cara pihak Mavcom sendiri,” katanya selepas melancarkan destinasi baharu Batik Air Malaysia ke Jepun dan tambang tetap bagi perayaan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Syarikat itu menawarkan harga tetap hanya RM299 ke Kuching, Sarawak dan RM399 ke Kota Kinabalu, Sabah untuk tarikh penerbangan mulai 18 Januari sehingga akhir bulan ini.
Ia juga memperkenalkan caj tetap cuma RM259 sehala lengkap bagi tempoh yang sama dari terminal di Subang Skypark ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Langkawi.
Mengulas lebih lanjut, Siew Fook berkata, daripada keseluruhan 291 penerbangan ekstra itu, Batik Air Malaysia akan menyediakan 35 trip tambahan ke Kuching dan Kota Kinabalu.
“Juga 42 penerbangan tambahan ke empat destinasi dinyatakan dari Subang dan langkah ini diharap akan dapat bantu penumpang untuk pulang dengan kos yang rendah,” katanya.
Beliau menambah bahawa inisiatif dilaksanakan oleh semua operator tempatan itu antara kaedah kementerian tersebut menangani isu harga tiket mahal setiap kali perayaan besar.
Masalah berkenaan ujarnya, diakui berlarutan sejak sekian lama apabila musim cuti perayaan utama dan menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah untuk balik ke kampung.
Situasi itu kata beliau, amat dirasai dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak yang tiada pengangkutan pilihan kecuali hanya terpaksa menaiki penerbangan dari Semenanjung.
Pada masa sama tambah Siew Fook, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga memastikan semua terminal udara beroperasi lebih masa mengurus tambahan penerbangan.
“Pihak CAAM turut akan memastikan kawalan trafik udara menyusun jadual kerja ekstra untuk staf mengendalikan kekerapan penerbangan sepanjang musim berkenaan,” katanya.
Langkah berkenaan, juga akan dilaksanakan pada perayaan lain terutama Hari Raya Puasa, Gawai dan Kaamatan serta Krismas yang memang sentiasa tinggi permintaan domestik.
Bahkan beliau yakin, tambahan penerbangan ketika tempoh musim tertentu seperti cuti persekolahan akan meringankan beban kewangan rakyat untuk mudah terbang dengan selesa. – UTUSAN