27,000 kunjungi Gua Kelam, View Point Wang Kelian dalam tempoh lima hari - Utusan Malaysia

27,000 kunjungi Gua Kelam, View Point Wang Kelian dalam tempoh lima hari

GUA Kelam antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong sempena cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Hanya dalam tempoh lima hari sempena cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Gua Kelam dan View Point Wang Kelian di sini mencatatkan kehadiran pengunjung sehingga mencecah 27,000.

Pengarah Perhutanan negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata, kedua-dua lokasi pelancongan tersebut mencatatkan kehadiran paling ramai setakat ini bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, dalam tempoh lima hari itu, kehadiran pelancong di dua kawasan berkenaan membolehkan jabatan tersebut mengutip hasil bayaran masuk sebanyak RM51,925.

“Dari 20 hingga 24 Januari lalu, seramai 15,000 melawat Gua Kelam dengan meraih pendapatan sebanyak RM30,325 manakala View Point Wang Kelian pula mencatatkan 12,736 pelancong dengan pendapatan RM21,600.

“Jabatan Perhutanan mula mengenakan caj di View Point Wang Kelian pada 21 Januari lalu bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan asas di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, caj masuk ke View Point Wang Kelian adalah RM2 untuk dewasa berusia 18 tahun ke atas dan RM1 untuk mereka di bawah 18 tahun.

Katanya, kanak-kanak bawah enam tahun dan orang kurang upaya (OKU) pula adalah percuma.

“Kita mengenakan caj sebanyak RM3 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak termasuk berjalan kaki menikmati keindahan gua batu kapur sepanjang 370 meter dan galeri tiga dimensi di Gua Kelam.

“Sekiranya ingin merasai pengalaman di rumah cermin, caj sebanyak RM5 dikenakan untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Selain itu, caj aktiviti penerokaan realiti maya (VR) adalah RM10 bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.

“Jabatan Perhutanan negeri juga giat membantu dalam mempromosikan pembangunan pelancongan di negeri ini dengan menaiktaraf kemudahan Taman Eko Rimba Bukit Ayer dan Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat.

“Terbaharu, aktiviti menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV) yang diperkenalkan pada 21 Januari lalu bersama perkhidmatan basikal elektrik bagi mengelilingi taman eko-rimba itu dengan bayaran antara RM10 hingga RM50,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya