ALOR SETAR: Polis menggempur sarang penagihan dadah dan berjaya menahan 21 lelaki dalam Op Tapis di Keda Batu 13 dan Kepala Batas, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang itu turut menemukan sejumlah 1.26 gram dadah dipercayai heroin.
“Beberapa lokasi penagihan digempur oleh pasukan operasi terdiri daripada 24 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
“Serbuan dilakukan setelah intipan dilakukan oleh pasukan terlibat yang mengesyaki lokasi berkenaan menjadi port,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua penagih berkenaan yang berusia 31 hingga 56 tahun dipercayai mengunjungi lokasi berkenaan untuk mendapatkan bekalan dadah dan melepaskan gian.
“Kawasan semak terbabit dan rumah kosong di lokasi berkenaan dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan gian kerana ada yang khayal ketika ditahan.
“Tiga daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan selebihnya di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya.
Tambah Ahmad Shukri, pihaknya akan terus menggempur seluruh daerah ini dalam usaha memerangi kegiatan penagihan itu. –UTUSAN