PUTRAJAYA: Sebanyak 2,024 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 52/2022 berbanding 2,018 kes pada minggu sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak enam kes atau 0.3 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan pada ME 52 berbanding satu kematian pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 66,102 kes berbanding 26,365 kes bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 39,737 kes (150.7 peratus).
Jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan pula adalah 56 kematian berbanding 20 bagi tempoh yang sama pada tahun 2021, iaitu peningkatan 36 kematian atau 180 peratus.
“Sebanyak 71 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 58 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 40 lokaliti hotspot berada di Selangor, 16 lokaliti di Sabah, tujuh lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Ini termasuk enam lokaliti di Pulau Pinang dan masing-masing satu lokaliti di Perak serta Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 13 kes pada minggu ke-52 dengan lapan kes di Pulau Pinang, empat kes di Selangor dan satu kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jelasnya, jumlah kumulatif kes chikungunya bagi tahun 2022 adalah sebanyak 814 kes berbanding 1,432 kes pada tahun sebelumnya.
“Bagi survelan zika sepanjang tahun 2022, sebanyak 2,238 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes denggi seperti peningkatan aktiviti serta pergerakan manusia apabila semua sektor dibuka sepenuhnya setelah pandemik Covid-19 kerana pesakit denggi tidak bergejala yang melawat ke tempat baharu dapat menyebarkan virus denggi apabila digigit oleh nyamuk Aedes.
Selain itu, katanya, berlaku perubahan serotaip denggi kepada DEN4 di kebanyakan negeri menyebabkan peningkatan kes serta kematian denggi.
“Keadaan kebersihan persekitaran serta tabiat segelintir masyarakat yang tidak melupuskan sampah di tempat pelupusan sampah yang disediakan dapat menyumbang kepada tempat-tempat pembiakan Aedes.
“Faktor cuaca, suhu serta bencana banjir yang dialami dapat mempengaruhi perkembangan nyamuk dan larva yang menyebabkan populasi Aedes meningkat seterusnya menyebarkan virus denggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan bagi negeri-negeri yang pernah terlibat dengan banjir seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan aktiviti pembersihan longgokan sampah dan sisa dalam tempoh seminggu selepas banjir surut untuk mengelakkan ianya menjadi tempat pembiakan Aedes.
Tambahnya lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah memastikan urusan pelupusan sampah berjalan sempurna dan teratur. – UTUSAN