200 warga asing mogok, tidak puas hati tentang gaji, jadual

200 warga asing mogok, tidak puas hati tentang gaji, jadual

TANGKAP layar video yang tular 2 Januari lalu di aplikasi media sosial 'Tiktok' menunjukkan sekumpulan warga negara asing berhimpun dan melancarkan mogok di kawasan Amber Court, Genting Highlands di Bentong, Pahang. - FOTO /IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Perselisihan faham di antara pekerja dengan pihak syarikat dipercayai menjadi punca kira-kira 200 warga negara asing mengadakan mogok di Amber Court, Genting Highlands di sini. 

Mogok itu tular di media sosial Tiktok milik ‘Yubrajkarki3’ pada 2 Januari lalu menunjukkan sebuah rakaman video berkaitan sekumpulan warganegara asing berhimpun dan melancarkan mogok di kawasan berkenaan. 

Bagaimanapun hantaran berkenaan dipadamkan oleh pemilik akaun. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis mengesahkan mogok tersebut melalui panggilan telefon daripada orang awam pada 2 Januari lalu, kira-kira pukul 8 pagi yang  memaklumkan orang ramai dipercayai warga negara asing berkumpul di pekarangan Amber Court.

“Berasaskan maklumat berkenaan, sepasukan anggota dari  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bergegas ke tempat kejadian dan mendapati hampir 200 orang disyaki warga negara asing berkumpul dan melakukan mogok yang diketuai oleh dua lelaki dipercayai ‘ketua’ bagi perhimpunan tersebut. 

“Polis dimaklumkan berlaku perhimpunan berikutan perselisihan faham di antara pihak syarikat dan pekerja di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, polis bertemu dengan penyelia syarikat tersebut untuk mengetahui punca sebenar berlakunya mogok dan dipercayai  akibat ketidakpuasan pekerja berkenaan gaji dan jadual bekerja. 

“Polis memberi amaran kepada ‘ketua’ yang mengetuai mogok tersebut supaya bersurai dan tidak melakukan kacau atau gangguan di tempat awam namun amaran berkenaan tidak diendahkan oleh semua warga negara asing. 

“Berikutan keadaan semakin agresif timbul dalam mogok tersebut, polis telah menahan kedua orang ketua dalam kumpulan yang berhimpun itu. 

“Kedua orang lelaki berkenaan yang ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Genting Highlands untuk dokumentasi dan siasatan,” katanya. 

Zaiham menambah, polis berjaya mengawal keadaan setelah menasihati pihak pengurusan dan kumpulan yang melancarkan mogok untuk berbincang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam. 

“Pihak polis turut meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan perkara ini telah selesai oleh pihak pengurusan serta pekerja dengan cara baik atas nasihat polis,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya