20 keluarga asnaf terima manfaat pelaksanaan projek SPERA - Utusan Malaysia

20 keluarga asnaf terima manfaat pelaksanaan projek SPERA

AMRAN Hazali (tiga dari kanan) dan Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara ZPP, IKTBN dan Koperasi IKBN untuk projek SPERA di pekarangan Masjid Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 20 buah keluarga asnaf terpilih dijangka menerima manfaat daripada pelaksanaan fasa pertama projek Skim Pendawaian Elektrik Rumah Asnaf (SPERA) tidak lama lagi.

Ia susulan pemeteraian kerjasama yang dijalin antara Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, ketika ini, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi menjayakan projek tersebut dengan setiap keluarga bakal menerima peruntukan maksimum sehingga RM6,000.

Melalui kerjasama itu, jelas beliau, pihak IKTBN akan menggunakan kepakaran mereka untuk membuat pemeriksaan dan kerja-kerja pembaikan pendawaian elektrik di rumah asnaf yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata, proses pemeriksaan dan pembaikan itu akan dijalankan oleh pelajar-pelajar IKTBN yang sedang menjalani
kursus Perakuan Kompetensi Pendawai Fasa Tiga (PW4) dengan dipantau sepenuh masa oleh tenaga pengajar bagi memastikan dilakukan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Pada masa sama, segala kos yang terlibat akan dibiayai menggunakan dana yang diperoleh hasil daripada agihan zakat,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Masjid Jamek Kubang Ulu di sini, semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Bukit Mertajam, Muzkhairil Muhamad.

Mengulas lanjut, Amran berkata, SPERA akan dijalankan secara berfasa mengikut kariah di seluruh Pulau Pinang bermula dengan projek perintis di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Katanya, fokus diberikan kepada asnaf fakir dan miskin yang merupakan penerima skim kewangan bulanan daripada ZPP.

“Antara syarat kelayakan skim ini adalah penerima hendaklah tinggal di rumah sendiri atau rumah pusaka.

“Oleh itu, asnaf yang tinggal di rumah sewa atau di rumah yang dibina oleh pemaju tidak termasuk di dalam kategori yang layak menerima skim baharu ini,” kata.

Tambah Amran, segala bantuan yang disalurkan itu diharap dapat meringankan beban para asnaf sekali gus membolehkan mereka lebih berdaya saing dalam merapatkan kesenjangan sosio ekonomi ummah di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya