2 juta kenderaan dijangka guna PLUS semasa cuti Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

2 juta kenderaan dijangka guna PLUS semasa cuti Tahun Baharu Cina

Kerajaan mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat rondaan lebih kerap bagi memastikan tiada objek atau halangan terdapat di atas lebuh raya termasuk serpihan tayar lori demi keselamatan pengguna. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sempena cuti Tahun Baharu Cina minggu depan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa itu.

Jelas beliau, PLUS komited membantu dan memastikan pengguna mengalami perjalanan yang selamat sepanjang menggunakan lebuh raya tersebut sepanjang cuti perayaan itu.

“Kami menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kami pada hari-hari puncak (hari-hari yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi) iaitu pada 20, 21 dan 24 Januari.

“Oleh itu bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS membuat persediaan awal dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa ketika berada di rangkaian lebuh raya kami,” katanya menerusi satu kenyataan.

Zakaria berkata, strategi itu merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan lalu lintas di plaza tol, hebahan maklumat trafik serta sebagainya.

“Fokus kami pada perayaan ini adalah aspek keselamatan di lebuh raya di mana pelbagai strategi dikenal pasti dan akan dilaksanakan.

“Pada masa yang sama, kami memohon kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati serta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sepanjang musim perayaan yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengambil kira penunggang motosikal yang menyumbang kepada kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan jumlah kemalangan maut di lebuh raya PLUS pada tahun lalu.

“Kemalangan-kemalangan yang membabitkan kenderaan berat pula sering menyebabkan kesesakan yang teruk memandangkan ia memerlukan tempoh yang agak panjang untuk dialihkan dan diselesaikan serta memerlukan kehadiran dan bantuan jentera-jentera berat seperti kren dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya, PLUS bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya