160,000 siswa UiTM mengundi - Utusan Malaysia

160,000 siswa UiTM mengundi

MPP UiTM
SEBAHAGIAN daripada 94 calon mewakili 24 fakulti dan kolej pengajian bertanding dalam pemilihan MPP di UiTM, Shah Alam, Selangor yang bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 160,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengundi dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hari ini apabila aktiviti pembuangan undi yang dilakukan secara dalam talian dibuka pukul 12.01 tengah malam tadi hingga 5.30 petang.

Pemilihan dibuat selepas kempennya yang bermula pada Isnin minggu lalu tamat 11.59 malam tadi menyaksikan 94 calon diumumkan bertanding yang mana hanya dua orang akan dipilih bagi mewakili 24 fakulti dan kolej pengajian.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi, pengundian hari ini akan menyaksikan pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi setiap fakulti dan kolej pengajian sebelum mereka menyertai MPP.

“Pemilihan JPP diadakan pada setiap tahun. Pemilihan JPP UiTM pada tahun ini masih lagi mengekalkan kaedah pengundian secara dalam talian. Mahasiswa dan mahasiswi boleh membuat pengundian dari kampus ataupun rumah.

“Pada sesi pencalonan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM mengadakan penamaan calon di Foyer Kompleks Budisiswa, UiTM Shah Alam. Sebanyak Sebanyak 101 borang pencalonan telah diterima dari seluruh fakulti dan 94 calon telah diumumkan bagi mewakili 24 fakulti dan kolej pengajian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, selepas 5.30 petang, pengiraan undi akan dilakukan dan keputusan rasmi akan dimaklumkan pada hari ini di Kompleks Sukan.

Bagaimanapun, Mohd. Sazili memaklumkan tiga fakulti calonnya diumumkan menang tanpa bertanding selepas tiada persaingan atau pencalonan lain diterima.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu BHEP mengangkat aspirasi mahasiswa melalui cadangan dan pandangan seluruh mahasiswa bagi memastikan pembangunan universiti terbesar di negara ini terus diperkasa.

Baru-baru ini seramai 246 anggota MPP UiTM seluruh negara mengadakan Konvensyen MPP UiTM 2021/2022 di Johor Bahru membahaskan 24 usul untuk memurnikan kebajikan serta khidmat yang diberikan kepada mahasiswa dan universiti.

“Penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM se-Malaysia dalam memberi idea, cadangan dan pandangan sedikit sebanyak dapat membantu pembangunan dan kebajikan mahasiswa UiTM di samping meningkatkan tahap ketampakan UiTM secara holistik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya