14 termasuk warga asing diberkas, dadah RM1.67j dirampas

14 termasuk dalang warga asing diberkas, dadah RM1.67 juta dirampas

KAMARUL Zaman Mamat (kanan) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM1.6 juta dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Perumpamaan itu sesuai diberikan kepada sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing apabila 14 individu berjaya diberkas dalam sembilan serbuan di empat daerah di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi khas bermula 5 sehingga 14 Januari lalu itu, lapan warga asing serta enam rakyat tempatan yang berusia 21 hingga 48 tahun berjaya ditahan.

Selain tangkapan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 70,004 biji pil eramin 5, 54.70 gram (g) syabu, ekstasi, ganja serta heroin bernilai RM1.67 juta.

“Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, polis Johor berjaya menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah didalangi warga asing hasil daripada sembilan serbuan di Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi yang digunakan sindiket yang aktif sejak Oktober tahun lalu adalah menjadikan rumah mewah berpagar serta dijaga pengawal keselamatan sebagai stor atau transit dadah terbabit.

Dadah yang disimpan akan dibungkus sebelum diedarkan kepada pelanggan ‘kaki disko’ atau ke pusat hiburan dan diedarkan ke negeri lain..

“Dalam serbuan ini juga, polis turut merampas sebuah kereta mewah jenis Maserati Ghibli bernilai lebih RM300,000 yang digunakan lelaki warga asing yang bertindak sebagai ‘mastermind’ sindiket ini.

“Selain itu, pelbagai barang kemas bernilai RM44,441 serta seutas jam tangan jenis Rolex berharga RM45,000 dan keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah ialah RM2.06 juta,” katanya.

Hasil semakan mendapati sembilan daripada ahli sindiket tersebut memiliki rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis methamphetamin.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, sejak 1 hingga 14 Januari tahun ini, polis Johor berjaya memberkas 686 individu atas pelbagai kesalahan serta 591.08 kilogram dadah dirampas bernilai RM3.68 juta selain harta disita berjumlah RM915,437.50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya